Aktiviti kemasyarakatan Mokhtaruddin

Selain aktif berlakon, Mokhtaruddin juga aktif dalam kerja-kerja kemasyarakatan dan menubuhkan Persatuan Seni Silat Pancang 12. Dalam persatuan itu, beliau sebagai guru silat dan mengembangkan seni silat ini ke seluruh negara.

Beliau mula mengajar silat sejak tahun 80-an di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang selepas tidak aktif berlakon. Bahkan, beliau juga pernah menjadi jurulatih seni mempertahankan diri kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada tahun 1985 hingga 1986.

Pada 1998, Mokhtaruddin bersama isterinya, Sharifah Tahiyah Syed Mahamood mengasaskan Pondok Penyayang Raudah di Gombak, Selangor untuk menjadi pusat pendidikan remaja bermasalah, seperti terlibat dalam gejala dadah, buli, lepak dan sebagainya dengan menganjurkan kegiatan keagamaan dan sosial dalam usaha membantu kerajaan menyelesaikan sebahagian permasalahan masyarakat.

Mokhtaruddin juga menganjurkan kem musim panas setiap minggu sebagai kem motivasi untuk pelajar sekolah dan membantu penghasilan serta penerbitan drama berunsur nasihat dan teladan kepada masyarakat.

Sebagai menghargai sumbangannya dalam dunia perfileman dan kemasyarakatan, beliau diberikan Anugerah Bintang Seniman - Kukum 2006: Tokoh Seni Negeri Perlis di Kangar, pada 6 Mei 2006. Beliau sekarang menetap di Kangar bersama isterinya, Sharifah Tahiyah Syed Mahamood.